Saturday, January 27, 2018

Diari Hari Sabtu


Hari ini merupakan sekolah ganti sempena cuti gawai raya bulan Jun nanti. Cuti ganti ini hanya untuk negeri Sarawak memandangkan majoriti masyarakat Sarawak adalah berbangsa Iban. Justeru itu, murid prasekolah juga tidak berkecuali untuk hadir. 

Hari ini sesi pengajaran berjalan seperti biasa. Sebaik sahaja saya mengajar, murid-murid akan melakukan latihan pada lembaran kerja seperti menulis, mewarna, padanan dan sebagainya. 

Saya sememangnya tidak menyukai murid-murid bercakap ketika melakukan latihan. Jikalau mereka bercakap, pastinya latihan mereka lambat untuk disiapkan. 

Cara yang saya selalu buat adalah dengan melekatkan pita pelekat pada mulut mereka. Ya, nampak agak 'kasar' di situ, namun ini adalah cara terbaik bagi saya untuk menangani murid bercakap ketika membuat kerja. Cara ini telah saya lakukan sejak posting lagi. Setakat ini, alhamdulillah cara ini berkesan. Murid-murid sendiri akan membuka pita pelekat tersebut jika saya sudah berpuas hati dengan hasil kerja mereka. 

Namun demikian, bukan lah saya tidak memberi peluang murid-murid untuk bercakap langsung. Murid-murid boleh bercakap namun menggunakan suara yang perlahan ataupun berbisik dengan rakan jika memerlukan bantuan rakan. 

'Hukuman' pita pelekat hanya diberikan jika murid asyik bercerita sambil melakukan kerja dan telah ditegur berkali-kali oleh guru namun tiada perubahan. 

Alhamdulillah setakat ini, murid-murid memahami tujuan saya 'menghukum' mereka. 

Sering kali saya tekankan adalah 'masa belajar, belajar betul-betul, masa menulis, menulis cantik-cantik, masa menyanyi, nyanyi sepuas-puasnya, masa mewarna, warna sebaiknya. Yang penting kena fokus. Kalau tak fokus satu apa pun tak dapat. 

Kadangkala saya 'train' mereka seperti orang dewasa walhal mereka hanya kanak-kanak yang baru mengenal dunia.

Niat saya tidak lain tidak bukan hanyalah untuk mematangkan mereka. Rata-rata murid tahun satu di sini tinggal di asrama atas faktor rumah yang jauh untuk ulang alik setiap pagi. 

Semoga pendidikan dan ketegasan saya mampu menjadikan mereka insan berdikari yang teguh pendiriannya serta baik akal fikirannya. 

Moga ALLAH redha 🤗