Janjiku pada diri sendiri tak tertunai rupanya. Azamku akanku tulis satu entri pada setiap bulan masih belum berjaya. Hehe. Jadinya, jom kita ingat semula apa yang terjadi pada bulan Februari lalu 🤭🤗
Pada bulan lalu, fikiranku banyak memikirkan mengenai keadaan rakan-rakanku. Dua orang kawanku mengalami masalah depresi. Masalah ini sebenarnya sejak tahun lalu. Tetapi ketika itu, aku hanya mampu berdoa dan memandang dari tepi sahaja. Aku tidak mampu menembusi fikiran mereka. Hal ini kerana, jasad mereka bersama kami, tetapi hakikatnya hati mereka tidak berada di situ.
Tahun ini, aku kira seorang telah berjaya melepasi tembok itu. Seorang lagi masih bergelut antara emosi, fikiran dan tanggungjawab. Allahu. Walaupun ini bukan kali pertama aku berdepan perkara ini, namun kesannya pada aku sangat mendalam. Aku sentiasa berfikir bagaimana cara untuk membantu mereka.
Aku bersyukur diberi peluang berkongsi rasa dengan pelbagai jenis manusia sejak zaman maktab lagi. Pengalaman mereka menjadikan aku yang sekarang ini.
Kisah yang paling terkesan adalah mengenai rakanku,mangsa rogol sejak kecil, tidak mempercayai lelaki, trauma sehingga hari ini, tidak mampu membaca kisah sepertinya, pasti akan 'triggered', bahkan bergantung kepada ubat tidur untuk lelap di malam hari. Perkongsian kisahnya kepada aku juga mengambil makan berpuluh tahun.
Alhamdulillah, aku bersyukur mempunyai doktor pakar psikologi dalam keluargaku. Acik Iza antara orang yang akan menjadi sumber rujukan aku. Kadangkala aku hanya menaip panjang lebar isi hatiku, Acik Iza akan membalasnya ketika berkesempatan. Tips dan panduan Acik banyak aku gunakan untuk membantu rakan-rakanku.
Namun demikian, bukan semudah ABC untuk keluar daripada situasi itu. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya. Tambahan pula, kedatangan pandemik ini memberi rasa tambahan pada rasa-rasa sebelum ini. ,
Apa yang aku boleh simpulkan, tekanan ini berpunca apabila ada perasaaan yang tersimpan begitu lama ( marah, kecewa, terkilan, sedih) dan terlalu berahsia mengenai rasa yang dialami walaupun dengan insan tersayang. Ini hanya pendapat peribadi aku.
Pernah aku baca satu ayat ni 'Kita tidak mampu menjadi kuat sentiasa, tapi ingatlah untuk tidak berputus asa dengan ujian Allah. Andai kata penat, berehatlah sebentar, bukan berhenti. Ada hikmah di sebalik kejadian. Ketahuilah, Allah sentiasa bersama-sama orang yang bersabar.
Aku tak kuat, dikau juga tidak kuat. Kekuatan itu hanya daripada Allah. Mohonlah padaNya, rayulah padaNya.
Moga Allah redha.
Salam sayang,
Nafisah Zainal 💕
No comments:
Post a Comment