Saturday, July 8, 2017

KAK TASYA LULUS EG TUKAR

Bismillahirahmanirrahim.

Hari ini tepat seminggu perpindahan Kak Tasya ke Lawas. Aku adalah orang paling sedih ketika mendapat tahu keputusan perindahan awal bulan Jun lalu. Manakan tidak, dia lah rakan serumah, rakan sekerja, tempat aku mengadu, tempat aku bermanja, tempat aku bercerita, tempat aku bersandar ketika sedih dan yang pastinya tempat aku rujuk untuk segala permasalahan. Kak Tasya tidak pernah jemu mendengar adiknya ini membebel-bebel setiap kali pulang daripada sekolah, tidak pernah jemu mendengar adiknya meluahkan rasa tidak puas hatinya dan tidak pernah jemu menasihatkan serta menegur andainya ada kesilapan yang aku lakukan. Tegurannya tegas tertapi berhikmah. 

Mendengar kisah rakan-rakan lain yang mempunyai masalah dengan rakan serumah mereka menjadikan aku lebih bersyukur memiliki Kak Tasya sebagai teman serumah. Kak Tasya seorang yang lemah lembut, pendiam tetapi memiliki hati yang kental. Biarlah apa orang nak cakap, biarlah apa orang nak buat, dia boleh relax je macam takde papa yang berlaku. Aku pula pada zahirnya seorang yang kasar, jenis yang tidak kisah, banyak cakap, kecoh tetapi mempunyai hati yang sangat sensitif. Hati ini terlalu nipis senipis kulit bawang.  Ada orang mengata belakang sikit lebih lebih lagi orang yang kita rapat mula lah sedih bagai. Mula lah rasa apa salah diri ini sehinggakan mereka fitnah sedemikian. Padahal, hakikat manusia rambut sahaja sama hitam, hati lain-lain. 

Teringat aku kisah tahun lalu, Kak Tasya telah mendengar beberapa cerita mengenai aku ketika itu, namun Kak Tasya tidak mahu memberitahu aku sehinggalah program yang kami anjurkan itu berakhir. Hal ini kerana Kak Tasya risau aku akan terkesan dengan kata-kata itu dan tidak bersemangat untuk melakukan persiapan program. Selepas dua minggu program itu berakhir, Kak Tasya mula membuka cerita dan ternyata benar seperti sangkaannya. aku  menangis tidak berhenti malam itu. Pada masa yang sama aku solat hajat dan mengaji agar dikurniakan kekuatan untuk menghadap muka mereka, Apa yang aku bukan sekadar sedih bahkan kecewa kerana mereka boleh melemparkan fitnah sedemikian rupa. Allah, depan kita bukan main baik berkata-kata. Belakang kita, dicakapnya  macam-macam berkaitan diri kita. Pertama kali aku merasai perasaan orang difitnah. Allah, dua minggu juga aku terkesan dengan perkara tersebut. Aku lebih banyak mendiamkan diri, muhasabah diri dan banyak bersendirian. Kak Tasyalah yang akan memberi kata-kata semangat ketika itu.  

Itu baru sedikit jasa Kak Tasya. Jika ingin dicoretkan atau diceritakan tidak terbalas rasanya dengan wang ringgit jasa yang telah Kak Tasya berikan kepada aku sepanjang berada di Tegageng ini. 

Ya Allah, engkau ampunkanlah dosa Kak Tasya, dosa keluarganya, dosa kedua ibu bapanya serta dosa orang-orang kesayangannya. Murahkanlah rezekinya Ya Allah, lapangkanlah hatinya Ya Allah, tenangkanlah fikirannya Ya Allah serta engkau kurniakan petunjuk kepadaNya agar sentiasa berada dalam landasan keimanan Ya Allah. Amin amin ya rabbal Alamin. 












Moga Allah tautkan kasih sayang dalam persahabatan ini agar sama-sama beriringan berjalan ke SyurgaMU. Insha Allah. 


ps : Kak Tasya sokmo wassap tanya okey tak duduk rumah sorang-sorang :(

PELUANG DAN KESEMPATAN

Kebiasaanya setiap hari Jumaat, sebaik sahaja sesi persekolahan berakhir, aku akan mengalas beg sandang dan bersedia untuk pulang ke Bekenu. Peluang untuk melihat dunia luar tidak akan aku persiakan setelah menghabiskan masa 24 jam x 5 hari tinggal di sekolah. Kesempatan yang ada juga akan aku gunakan untuk membeli barang mentah dan stok makanan di sekolah kelak. 

Pada masa yang sama, peluang dan kesempatan yang ada tidak lain tidak bukan adalah untuk berjumpa gadis-gadis manis di bawah ini. #sisterfromanothermother ini sentiasa ada di sisi tatkala suka dan duka. Sukar untuk digambarkan sayangnya aku pada mereka. Tatkala berjauhan dengan keluarga, merekalah tempat mengadu, tempat bermanja, teman bergaduh dan teman yang hendak dibawa ke hulur hilir. Hehe


Tetapi tidak minggu ini, aku telah membuat keputusan untuk 'stay' di sekolah. Hampir tiga hari aku demam, selesema dan sakit tekak. Cuaca yang tidak menentu iaitu terlalu panas pagi hingga ke tengah hari dan seketika hujan panas membasahi bumi Tegageng telah menambah buruk keadaan kesihatan aku. Tambahan pula, setiap petang pada minggu ini aku turun melatih murid-murid sempena Hari Sukan hujung bulan ini. Profesion perguruan ini yang memerlukan aku menggunakan suara sekerap dan semaksima mungkin menjadi ujian buat diri ini. 

Justeru itu, aku mengambil peluang dan kesempatan yang ada untuk berehat sahaja di sekolah. Tidak larat rasanya ingin memaksa diri memandu kereta melalui jalan berbatu. Biarlah badan ini sihat sepenuhnya agar lebih bersedia untuk mendidik minggu hadapan. Alhamdulillah hari ini keadaan aku bertambah baik. Demam tiada lagi cuma selesema sahaja belum kering sepenuhnya.

Alhamdulillah juga, pada hari ini aku berjaya melakukan perkara-perkara berikut :

1. Sapu sampah dan mop lantai
2. Menyusun atur dan mengemas dapur
3. Menyusun atur bilik tidur
4. Membasuh  dan menyidai baju
5. Merendam langsir bilik kak tasya
6. Mengemaskini fail-fail perkhidmatan
7. Membahagikan kumpulan murid-murid prasekolah
8. Merangka acara sukaneka murid prasekolah sempena Hari Sukan 2017
9. Menghantar emel kerja kepada Kak Tasya dan Syarikat Yut Ming
10. Merangka aktiviti untuk Sambutan Hari Jadi Prasekolah pada 18 Julai 2017


Aku tidak pasti daripada mana aku dapat kekuatan menyelesaikan semua perkara di atas. Apa yang pasti, aku adalah orang yang tidak boleh melihat tempat yang bersepah dan tidak bersih. Peluang yang ada ini aku gunakan sebaiknya untuk memastikan rumah ini bersih dan kemas.

Moga Allah redha.

9 Julai 2017
12.07 pagi