Wednesday, November 13, 2024

RUMAH PANJANG NGADAN

 Sebelum saya pindah, saya sempat makan-makan di RH panjang Ngadan. Mereka banyak membantu saya menjalankan tugas sebagai setiausaha PIBG. Keramahan mereka takkan saya lupakan. Senda gurau mereka sentiasa menyenangkan hati saya. Walaupun kadang-kadang saya serabut untuk memahami apa yang diujarkan, kita layan saja 😀😀

Datang kali pertama sebab anak murid kita dah kahwin rupanya . 

Anak murid pertama yang selalu tidur di rumah kami tahun 2015 ( Darjah 6 masa tu) 


Datang kali kedua sebab nak bawa Mira jumpa mereka. Keluarga saya di sana. 

* Terima kasih sebab sayang saya, terima saya, tolong saya. Moga ada rezeki, kita jumpa lagi. 


RINDU TAK BERPENGHUJUNG

Bekerja di Melaka pastinya jauh beza dengan bekerja di Sarawak. Baik dari segi suasana, gerak kerjanya, mahupun cara sesuatu pentadbir mentadbir. Hampir tiga tahun di sini, aku mulai penat, bosan menghadapi segala birokrasi yang ada. Ingin sahaja ku menjerit sepuas-puasnya. Apa mahuMu di atas sana, menghenyak kami seolah-olah tiada hari esok, menghiris perasaan kami seolah-olah kami tiada hati dan perasaan. Jika semudah itu untuk menyelesaikan masalah, pasti aku akan jerit dan lari. Hahaha

Mereka adalah ujian buatmu Nafisah, buat rakan-rakanmu, buat sesiapa yang berhubung dengannya. Semakin meningkat usia ni, nak tenang-tenang aja. Kalau tak suka, diam, luahkan pada yang tepat, jangan sampai mengumpat, jangan sampai dendam. 

Mohon jaga diri sendiri. Kesihatan sendiri yang utama. Diam tidak bermakna kita kalah. Namun, kita memilih untuk menang dengan cara kita sendiri. Moga Allah bantu. Moga Allah kuatkan kita semua. Tenang-tenang wahai Nafisah. Dunia ini tempat sementara, akhirat kekal selamanya 😀

Carilah bahagia sendiri. Antara kebahagiaan saya adalah melihat album-album lama. Rindu zaman muda mudi, tak perlu fikir bayar komitmen, tak perlu fikir duit minyak, tak perlu fikir semuanya. Haha 









Tuesday, November 14, 2023

HAKIKAT SEBUAH KEHIDUPAN

Begitulah hakikat sebuah kehidupan. Kita bangun daripada tidur dan melakukan pelbagai aktiviti sehingga waktu tidur kembali. Kebiasannya perkara berlaku begitu pantas sehingga kita tidak sedar apa yang kita lakukan.

 Ya, mungkin kita separa sedar. Tapi, ketahuilah itulah hakikat sebuah kehidupan. Dunia ini hanyalah fantasi yang dihidangkan agar kita leka di dalamnya. Akhirnya, kita kembali ke alam barzakh dengan penyesalan. Nauzubillahminzalik. 

Itulah yang sering berlegar di fikiran saya sejak pemergian busu. Cantiknya susunan yang Allah berikan sehingga kami semua yang disayanginya berada disisinya semasa saat-saat akhir kepulangannya kepada cinta abadi. Allah, adakah kita akan seperti busu. Banyak perkara yang saya pelajari mengenai Busu. Mungkin perkara tersebut saya jarang lakukan dan boleh dibaiki selepas ini. 

Sepatutnya tulisan ini ditulis begitu sahaja tanpa perlu berfikir. Namun demikian, sejak akhir-akhir ini tidak dinafikan otak ini sering berfikir jauh ke hadapan. Seperti mana yang selalu aku bebelkan pada nenek, itulah yang aku dapat. Sebaiknya semuanya disusuli dengan istighfar. Allah jualah sebaik-baik pembantu, Allah jualah sebaik-baik penolong. Hanya kepadaMu , hamba ini memohon perlindungan, memohon keampunan. 


* gambar rasmi di Melaka 


Friday, July 15, 2022

Raya Aidil Adha 2021

Kamek raya sitok tahun tok. Sikpa. Kamek sik sedih. Kamek mauk bahagia ja. Mun pindah kelak, sik ralat gilak. Puas kamek raun sitok

Model tak berbayar 

Geng bekenu

Geng Kampung Muhibbah

Take 1

Take 2

Ala-ala potret keluarga katanya 

Sama tinggi 💖💖

Ikut ketinggian ya 😘

Eh tak habis lagi 😂

Sayang kita ke tu 🤔😍

Sayang sangat ni 😍

Menu dari Chef Mira 😍

*simpan post ni dalam draft selama setahun. Marilah kita publish. okey, rindu Sarawak sebenarnya 


Monday, August 16, 2021

Terlalu rindu

Bersangka baiklah dengan Allah, berdamai dengan takdir.

Allahuakbar. Ayat inilah yang seringkali aku gunakan untuk memujuk hati. Hampir 8 bulan tak balik Klang, itu bukan sesuatu yang mudah untuk aku. Sakitnya menanggung rindu, peritnya menahan sabar. Allahu. Hanya padaMu aku berserah, hanya padaMu aku memohon kekuatan.

Pandemik ini benar-benar mengujiku. Perkataan sabar mungkin mudah dikeluarkan di bibir tetapi tak semudah itu untuk diterima oleh hati, dihadam oleh fikiran.

Aku bersyukur masih lagi sihat walafiat di sini, mempunyai gaji setiap bulan, mempunyai keluarga yang utuh menyokong, mempunyai rakan-rakan yang memahami. Alhamdulillah. Alhamdulillah. 

Ku rindukan ruang itu

Ku rindukan suasana sebegini

Paling dirindui 

Bukan ku tak terima kenyataan, hati ini hanya rindu. 

Tuesday, July 27, 2021

Syukur

Alhamdulillah. Alhamdulillah. Alhamdulillah. 

Aku selalu bersyukur Allah tempatkan aku di sini. SK Kampung Tegageng. Sekolah yang aku akan rindui suatu hari nanti. 

Ya, sekolah ini seronok sangat, aku ramai kawan, rasa disayangi, rasa dihargai. Tapi, aku perlu pindah. Pindah ke tempat baharu. Pindah ke pangkuan keluarga. 

Pandemik ini menguji diriku sekaligus membuatkan aku berfikir untuk berpindah. Justeru itu, EG Tukar telah kuisi untuk mencuba nasib. 

Sudah tiba aku melangkah ke tempat lain. 7 tahun adalah tempoh yang manis untuk aku tinggalkan bumi Sarawak (acah-acah dapat ja)


Wednesday, March 10, 2021

Entri Ke-2 di bulan Ketiga

 Janjiku pada diri sendiri tak tertunai rupanya. Azamku akanku tulis satu entri pada setiap bulan masih belum berjaya. Hehe. Jadinya, jom kita ingat semula apa yang terjadi pada bulan Februari lalu 🤭🤗

Pada bulan lalu, fikiranku banyak memikirkan mengenai keadaan rakan-rakanku. Dua orang kawanku mengalami masalah depresi. Masalah ini sebenarnya sejak tahun lalu. Tetapi ketika itu, aku hanya mampu berdoa dan memandang dari tepi sahaja. Aku tidak mampu menembusi fikiran mereka. Hal ini kerana, jasad mereka bersama kami, tetapi hakikatnya hati mereka tidak berada di situ. 

Tahun ini, aku kira seorang telah berjaya melepasi tembok itu. Seorang lagi masih bergelut antara emosi, fikiran dan tanggungjawab. Allahu. Walaupun ini bukan kali pertama aku berdepan perkara ini, namun kesannya pada aku sangat mendalam. Aku sentiasa berfikir bagaimana cara untuk membantu mereka. 

Aku bersyukur diberi peluang berkongsi rasa dengan pelbagai jenis manusia sejak zaman maktab lagi. Pengalaman mereka menjadikan aku yang sekarang ini.

Kisah yang paling terkesan adalah mengenai rakanku,mangsa rogol sejak kecil, tidak mempercayai lelaki, trauma sehingga hari ini, tidak mampu membaca kisah sepertinya, pasti akan 'triggered', bahkan bergantung kepada ubat tidur untuk lelap di malam hari. Perkongsian kisahnya kepada aku juga mengambil makan berpuluh tahun. 

Alhamdulillah, aku bersyukur mempunyai doktor pakar psikologi dalam keluargaku. Acik Iza antara orang yang akan menjadi sumber rujukan aku. Kadangkala aku hanya menaip panjang lebar isi hatiku, Acik Iza akan membalasnya ketika berkesempatan. Tips dan panduan Acik banyak aku gunakan untuk membantu rakan-rakanku. 

Namun demikian, bukan semudah ABC untuk keluar daripada situasi itu. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikulnya. Tambahan pula, kedatangan pandemik ini memberi rasa tambahan pada rasa-rasa sebelum ini. ,

Apa yang aku boleh simpulkan, tekanan ini berpunca apabila ada perasaaan yang tersimpan begitu lama ( marah, kecewa, terkilan, sedih)  dan terlalu berahsia mengenai rasa yang dialami walaupun dengan insan tersayang. Ini hanya pendapat peribadi aku. 

Pernah aku baca satu ayat ni 'Kita tidak mampu menjadi kuat sentiasa, tapi ingatlah untuk tidak berputus asa dengan ujian Allah. Andai kata penat, berehatlah sebentar, bukan berhenti. Ada hikmah di sebalik kejadian. Ketahuilah, Allah sentiasa bersama-sama orang yang bersabar. 

Aku tak kuat, dikau juga tidak kuat. Kekuatan itu hanya daripada Allah. Mohonlah padaNya, rayulah padaNya. 

Moga Allah redha. 

Salam sayang,

Nafisah Zainal 💕

Thursday, January 7, 2021

Pertama 2021

Sedar tak sedar, tahun 2021 ini merupakan tahun ketujuh perkhidmatanku di Sarawak. Sungguh, aku rindu Tegageng. Rindu anak murid, rindu telatah mereka, rindu katil aku, rindu Bekenu, rindu kereta. Pendek kata rindu semua lah. Pelik aku ni. Kalau kat Sarawak, rindu Klang. Kalau kat Klang, rindu Sarawak. Hahaha. Itu lah lumrah manusia. Rindu pada yang tiada atau yang bukan di sisi. Syukur akan perasaan ini. Rindu ini menguatkan aku. Menjadikan Nafisah lebih menghargai setiap detik yang berlalu. Setiap hari aku akan mengingatkan diri sendiri, 

"Nafisah, tolong bersyukur dengan sekecil-kecil perkara dan bersabar dengan sekecil-kecil ujian " 











* Sengaja memuatnaik gambar hari sukan tahun 2018. 

Rezeki

Minggu ini aku memilih untuk duduk sahaja di sekolah. Kerja yang bertimbun sepanjang minggu perlu diberi ganjaran dengan hanya duduk rehat-rehat sahaja di rumah tanpa perlu memikirkan apa-apa. Tapi seperti kebiasaan, jarang seorang Nafisah tidak ada rancangan apa-apa. Jadinya, pagi sabtu kita mulakan hari dengan mengemas rumah. Okey, sebenarnya nak mulakan dengan susun fail PIBG. Tapinya, lepas masak sarapan rasa macam kotornya dapur, jom kemas, selepas itu, sesi mengemas diteruskan sehingga ke ruang tamu dan bilik. Sudahnya, sampai tengah hari. Petangnya, memang dah ada rancangan buat biskut dengan Min dan Yaya. 


Biskut ni hasil ciptaan Min guna bahan-bahan sedia ada. Min memang pandai masak dan setiap kali percubaan apa-apa jenis masakan, mulut aku akan menjadi testimoninya. Syukur untuk nikmat mencuba makanan ini. Bermula Jam 2 petang dan berakhir jam 6 petang, aku berjaya menghasilkan tiga balang kecil biskut. Min pula berjaya menghasilkan  chesskut namun demikian kek bakar pandan tidak menjadi gara-gara salah step. Takpe Min, nanti cuba lagi ya. 

Keesokan harinya, Kak Atie telah memberikan aku nasi ayam. Alhamdulillah, syukur. Dapur tidak berasap lagi hujung minggu ini. Hehe


Thursday, October 31, 2019

Doa

Hidup ini tidak seindah yang kita sangkakan. Ya, kita mahukan itu. Tapi Allah rencanakan yang lain. Kita inginkan sebegini, Allah rencanakan sebegitu. Berdoalah selalu semoga hati ini sentiasa redha dan berlapang dada dengan segala ketentuanNya. Percayalah, ini juga perlu diselitkan dalam doa kita. Semakin hari, semakin aku faham yang kita perlu berdoa sepanjang masa even sedang berjalan ke sekolah. Punyalah Allah nak kita kercakap dengan dia. Setiap satu perkara yang kita buat pun ada doanya. 

Tapi untuk insan biasa penuh dosa ini, haruslah tak hafal doa-doa yang mantap2 tu. Tak apa, Allah just nak dengar rintihan kita. Berdoalah, dimana-mana jua, dalam apa jua situasi, apa juga perasaan ketika itu. Mintalah apa jua keinginan, pohonlah apa jua kehendak. Yakinlah pada Allah. Allah maha pendengar. Akan Dia kabulkan pada waktu dan masa yang tepat. Namun, perlu dingat. Allah akan kabulkan dengan 'cara' Nya. Jika 'cara'Nya itu tidak disukai kita, redhalah, terimalah. Itu cara Allah sedang mengajar kita. 

Justeru itu, aku sering ingatkan orang terdekat agar sentiasa berdoa untuk redha dan berlapang dada. Kita insan lemah, tidak punya kekuatan, Allah  jua pemilik segala kekuasaan. Dengan siapa lagi kita ingin minta, jika bukan dengan Allah.

Berdoalah sayangku. Dengan itu, engkau akan menjadi orang yang tenang setenangnya. Kerna engkau yakin, apa jua cabaran, nikmat, dugaan hanyalah cara untuk Allah inginkan hambanNya mendekatkan diri padaNya. 



Friday, October 25, 2019

Refleksi Malam Hari

Jumaat. 25 Oktober 2019. 11.21 Malam

Hampir 4 minggu sahaja lagi, sesi persekolahan akan berakhir. Ada lagi 4 program penting sekolah belum terlaksana. Begitu cepat masa berlalu. Rasa macam baru masuk sekolah. Rasa macam baru mula tahun 2019. Tup-tup dah nak masuk bulan 11. 

Antara peristiwa berlaku tahun ini. 

Duit mengalir seperti air yang deras apabila melengkapkan barangan rumah.

Kewangan aku mulai diuji kerana tahun ini tahun pertama membayar rumah dengan harga yang sebenarnya 😂

Teruja dan syukur apabila berkesempatan pergi ke Long Tebangan (Hulu Baram) melihat kawasan rumah panjang Kak Lina. (Impian sejak posting terlaksana ✅)

Menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang untuk Tahun 2018. 

Berjaya beraya bersama-sama keluarga dengan tema warna biru (pertama kali kali warna sama). Alhamdulillah

Pertunangan Izzul dan pasangan. 

Pertunangan Kak Cik dan Saiful.

Perkahwinan Fahmi dan Aida.

Program Gawai Raya dan Pertandingan Bola Sepak. 


Yang Merasai,
Nafisah 
Miri. Bekenu. Suai. Klang. Jasin. 



Trip Labuan

Monday, July 30, 2018

Isnin 30 Julai 2018

Alhamdulillah atas nikmatnya selama ini. Bismillah. Allah uji tanda Allah sayang. Tengah hari nanti mendapat perkhabaran bahawa diesel genset sekolah kami akan diberhentikan pembekalannya buat sementara waktu. Ya, kami telah bersedia lebih awal. Hal ini kerana, kebanyakkan sekolah di daerah lain sudah menerima berita ini lebih awal daripada kami. Isu ini hanyalah berlaku di Sarawak sahaja buat masa ini. Persoalannya, mengapa tidak ada tindakan apa-apa.

Entahlah, pastinya sedih dan risau menyelubungi hati tatkala berita ini tersebar. Mana mungkin kami dapat mengajar dengan tenang jika haba panas yang menjadi peneman. Mana mungkin anak murid kami dapat belajar dengan tenang jika peluh mencurah-curah di dalam baju. Allah, jauh sekali untuk merungut atau tidak redha dengan ujianMu. Cumanya, hati ini tidak dapat lari daripada kebimbangan. 

Kami hanya kasihankan anak murid kami. Kami hanya kasihankan guru-guru atau staf yang mempunyai anak kecil yang tidak mengerti isu ini.

Jika elektrik tiada, bermakna sumber air pam tidak dapat berfungsi. Air hujan kami pula sudah kehabisan disebabkan hujan tidak kunjung tiba.

Ya Allah, redha kan hati ini, tabahkan hati ini, bantu hati ini untuk sering berprasangka baik terhadapmu Ya Allah.  mudahkan urusan kami Ya Allah.  Moga moga ujian ini dapat menjadi asbab kami memasuki syurgaMu. Amin

Moga-moga pihak berwajib dikurniakan ilham untuk menyelesaikan masalah ini secepat mungkin. AMIN

Saturday, January 27, 2018

Diari Hari Sabtu


Hari ini merupakan sekolah ganti sempena cuti gawai raya bulan Jun nanti. Cuti ganti ini hanya untuk negeri Sarawak memandangkan majoriti masyarakat Sarawak adalah berbangsa Iban. Justeru itu, murid prasekolah juga tidak berkecuali untuk hadir. 

Hari ini sesi pengajaran berjalan seperti biasa. Sebaik sahaja saya mengajar, murid-murid akan melakukan latihan pada lembaran kerja seperti menulis, mewarna, padanan dan sebagainya. 

Saya sememangnya tidak menyukai murid-murid bercakap ketika melakukan latihan. Jikalau mereka bercakap, pastinya latihan mereka lambat untuk disiapkan. 

Cara yang saya selalu buat adalah dengan melekatkan pita pelekat pada mulut mereka. Ya, nampak agak 'kasar' di situ, namun ini adalah cara terbaik bagi saya untuk menangani murid bercakap ketika membuat kerja. Cara ini telah saya lakukan sejak posting lagi. Setakat ini, alhamdulillah cara ini berkesan. Murid-murid sendiri akan membuka pita pelekat tersebut jika saya sudah berpuas hati dengan hasil kerja mereka. 

Namun demikian, bukan lah saya tidak memberi peluang murid-murid untuk bercakap langsung. Murid-murid boleh bercakap namun menggunakan suara yang perlahan ataupun berbisik dengan rakan jika memerlukan bantuan rakan. 

'Hukuman' pita pelekat hanya diberikan jika murid asyik bercerita sambil melakukan kerja dan telah ditegur berkali-kali oleh guru namun tiada perubahan. 

Alhamdulillah setakat ini, murid-murid memahami tujuan saya 'menghukum' mereka. 

Sering kali saya tekankan adalah 'masa belajar, belajar betul-betul, masa menulis, menulis cantik-cantik, masa menyanyi, nyanyi sepuas-puasnya, masa mewarna, warna sebaiknya. Yang penting kena fokus. Kalau tak fokus satu apa pun tak dapat. 

Kadangkala saya 'train' mereka seperti orang dewasa walhal mereka hanya kanak-kanak yang baru mengenal dunia.

Niat saya tidak lain tidak bukan hanyalah untuk mematangkan mereka. Rata-rata murid tahun satu di sini tinggal di asrama atas faktor rumah yang jauh untuk ulang alik setiap pagi. 

Semoga pendidikan dan ketegasan saya mampu menjadikan mereka insan berdikari yang teguh pendiriannya serta baik akal fikirannya. 

Moga ALLAH redha 🤗


Thursday, October 5, 2017

Tips Tinggal Bersendirian

Sejak Kak Tasya tak ada, hidup aku memang bosan. Yelah, dah lah kat prasekolah pun sorang-sorang sahaja (Kak Alice, PPM aku sedang bercuti bersalin), balik rumah pun tak ada orang nak berborak. Kalau dulu, balik je sekolah aku atau Kak Tasya yang akan masak tengah hari. Biasanya Kak Tasya yang akan masak sebabnya aku biasanya akan tidur sekejap selepas solat zohor. Jika ngantuk dan lapar, aku sememangnya akan memilih tidur daripada makan. 

Tapi, itu dahulu, kini tiada lagi. Ya, sememangnya aku sangat merasai pemergian Kak Tasya. Tiada lagi teman berborak, teman menonton TV, teman memasak dan teman bersama-sama untuk pergi kursus Prasekolah. 

Serindu manapun aku pada Kak Tasya, aku redha. Bukan selama-lamanya teman kita itu akan bersama dengan kita. Lambat laun mereka akan ke pangkuan keluarga mereka. Aku bersyukur Kak Tasya pindah sebelum bayi dilahirkan. Dengan keadaan jalan serta kemudahan yang terhad di sekolah ini pasti sukar untuk menjaga anak kecil sendirian tanpa suami di sisi. Perancangan Allah cantik sekali. Alhamdulillah. 

Panjang pula mukadimah aku ni, hehehe.. Sebenarnya, aku nak berkongsi mengenai tips untuk memotivasikan diri. Walaupun tips ini sudah biasa dibaca atau didengar di mana-mana, aku tetap nak berkongsi sebabnya nanti dah tua, aku yang akan baca blog aku semula, bukannya orang lain. hehe. 

Untuk orang yang tidak pernah tinggal tidur seorang diri di rumah sebelum-sebelum ini pastinya sukar untuk aku menyesuaikan diri semenjak perpindahan Kak Tasya. Beberapa perkara telah aku lakukan agar dapat tidur dengan bertenang. 

Pertama : Tidur awal daripada kebiasannya. iaitu aku memaksa diri untuk tidur pada pukul 9 Malam.

Kedua : Membaca buku sebelum tidur untuk mendapatkan mood ngantuk.

Ketiga : Makan petang awal iaitu sebelum pukul 7 dan tidak makan berat selepas pukul 7 agar perut dalam keadaan selesa untuk tidur. 

Keempat : Berkata-kata kata-kata positif pada diri seperti "Ko mesti boleh tidur dengan aman, tiada apa yang perlu ditakutkan, Allah kan ada. Trust on him"

Kelima : Melakukan adab tidur (berwuduk, tepuk tempat tidur, baca doa, baca 3qul)

Keenam : Membuat bayangan diri kejadian yang akan terjadi esok seperti "Esok aku bangun tidur, aku nak mandi, solat, mengaji satu muka surat, pergi sekolah untuk mengajar bla bla bla.. 
(berjaya memberikan kesediaan kepad otak aku untuk bekerja keesokkan harinya ) 

Alhamdulillah kesemua tips ini berjaya membantu aku mengawal perasaan takut tidur dan tinggal sendirian di rumah. 

Entri selepas ini aku akan kongsikan tips motivasi yang lain. Da. Bye. 

Moga Allah redha :)

Aku dan Kak Tasya

Monday, October 2, 2017

Happy Birthday My Bestie Noradilah bt Kamarudin


Selamat hari jadi buat kesayanganku dunia akhirat, Puan Noradilah binti Kamarudin. Alhamdulillah, esok 3 Oktober 2017 genaplah umurmu 26 Tahun :) Aku doakan semoga perkahwinanmu dilimpahi sakinah, mawadah, wa rahmah serta dikuniakan anak yang soleh dan solehah. Amin. 

Terima kasih sahabat kerna sering mengenggam tangan ini tatkala sukar dan senang selama ini. Walaupun kita tidak seakrab dahulu dek kerana faktor aku jauh di perantauan, namun, satu hal yang perlu kau tahu ialah aku tetap mengingatimu walau dimanaku berada. Masakan dapatku lupa sahabat yang sama-sama melakukan kegiatan "nakal" ketika sekolah dahulu. Masakan dapatku lupa sahabat yang pernah memberi bahu untuk bersandar, memberi telinga mendengar permasalahan ini, memberi semangat semasa rebah. 

Hanya Allah yang mengetahui betapa bersyukur hati ini dapat mengenalimu Dila. Engkau satu dalam sejuta. Perkahwinanmu tidak pernah membataskan persahabatan ini. Bahkan aku bahagia dan tenang kerna ada insan yang menjagamu tatkalaku berjauhan. 

Tiada kata indah yang mampu ku ungkapkan apabila bercerita mengenaimu. Engkau sahabat terbaik selama ini. Moga persahabatan ini berkekalan ke anak cucu. 

Akhir kata, ingat daku dalam doamu. Doa yang baik-baik buatmu sahabat. Aku menyayangimu kerna Allah.